Wednesday, February 10, 2010

Rasullullah Disayangi Haiwan & Tumbuhan



NABI Muhammad SAW ialah seorang insan yang berperibadi mulia serta menjaga ikutan terbaik bagi umat manusia. Peristiwa yang berlaku kepada Baginda akan membuatkan seseorang insan itu insaf dan ingin mencontohinya.

Begitulah yang berlaku kepada Uqa'il Abi Thalib. Pada suatu hari beliau keluar bersama Nabi Muhammad. Beliau melihat tiga peristiwa ajaib yang berlaku kepada Rasulullah. Perkara itu menjadikan iman di hatinya tetap serta bertambah kuat terhadap Islam.

Peristiwa pertama, ketika Uqa'il dan Rasulullah berasa haus. Mereka puas mencari punca air di beberapa tempat, namun tidak ditemuinya.

Maka, Rasulullah bersabda kepadanya: "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu dan sampaikan salam aku kepadanya serta katakan: "Jika ada pada kamu air, berilah aku minum!"

Uqa'il pun mendaki gunung itu dan berkata kepadanya seperti yang disabdakan oleh Rasulullah.


Maka, sebelum dia selesai berkata, gunung itu berkata dulu dengan fasihnya: "Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa sejak Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "(Hai orang yang beriman, jagalah diri kamu berserta keluarga kamu daripada (seksa) api neraka yang umpannya daripada manusia dan batu).

"Aku menangis kerana takut jika aku yang menjadi batu itu, maka tidak ada lagi air padaku. Ambillah air yang ada ini."

Peristiwa kedua, ketika Rasulullah ingin membuang hajat iaitu buang air besar. Di hadapannya ketika itu ada beberapa batang pohon.

Maka, Rasulullah berkata kepadanya: "Hai Uqa'il, teruslah engkau berjalan hingga ke pohon itu dan katakanlah kepadanya bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata: "Supaya kamu semua datang kepadanya untuk menjadi penutup baginya kerana Baginda akan mengambil air wuduk dan membuang air besar."

Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon itu. Sebelum dia sempat menyelesaikan tugasnya, ternyata pohon itu sudah tumbang daripada akarnya dan mengelilingi sekitar Rasulullah hingga Baginda selesai daripada hajatnya.

Peristiwa ketiga, ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang melompat dan berlari di hadapan Rasulullah.

Unta itu lalu berkata: "Ya Rasulullah, aku minta perlindungan daripada kamu."

Ketika unta yang masih belum selesai mengadukan halnya berkata, tiba-tiba datanglah daripada belakangnya seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.

Melihat orang itu, Rasulullah berkata: "Hendak apakah kamu terhadap unta ini?"

Arab kampung itu berkata: "Wahai Rasulullah, aku membeli unta itu dengan harga yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat dan jinak. Maka, akan aku sembelih saja dan manfaatkan dagingnya (ku berikan kepada orang yang memerlukannya).”

Rasulullah bertanya kepada unta itu: "Mengapa engkau menderhaka kepada tuan kamu?"

Unta itu berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak menderhaka kepadanya daripada sesuatu pekerjaan, tetapi aku tidak taat kepadanya kerana perbuatannya yang buruk.

"Kabilah yang tuan aku termasuk dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isyak.

"Jika sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isyak, maka aku berjanji tidak akan menderhaka kepadanya. Hal ini kerana aku takut jika Allah menurunkan seksa-Nya kepada mereka, sedang aku berada antara mereka."

Akhirnya Nabi Muhammad mengambil perjanjian dengan orang Arab kampung itu bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isyak.

Rasulullah menyerahkan unta itu kepadanya dan dia kembali kepada tuannya.

Begitulah kehebatan Rasulullah, bukan saja manusia, malah haiwan, gunung dan tumbuh-tumbuhan turut menghormat dan menyayangi Baginda.

Di sebalik kisah itu, jika makhluk lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan takut akan azab Allah kerana melanggar perintah-Nya, manusia sepatutnya insaf akan perkara itu.

Jika unta, takut bersuhabat dengan tuannya yang meninggalkan solat, apakah manusia tidak dapat berfikiran begitu?

No comments:

Post a Comment